SEJARAH

Sejarah Pekan Dabong

Nama Pekan Dabong diambil dari nama sejenis batu yang digunakan untuk mendabong gigi (mengasah gigi supaya menjadi cantik). Pada zaman 1920an, Dabong terkenal sebagai sebuah pekan pedalaman yang mempunyai stesen kereta api dan juga sebuah lapangan terbang yang dibina oleh Penjajah Inggeris untuk kemudahan pengangkutan. Terdapat juga kem tentera British dan pernah digunakan oleh pihak Jepun semasa penaklukan Tanah Melayu pada tahun 1941, selepas pengunduran pihak Jepun dari Tanah Melayu, kem tersebut digunakan oleh Tentera Melayu pada zaman darurat 1948 bagi menjaga keselamatan kampung dari ancaman Komunis.

Cerita Rakyat

Menurut cerita dari warga emas Kampung Dabong, pelbagai kisah telah terungkap sebelum kampung ini dinamakan Kampung Dabong. Menurut beliau, terdapat satu kisah iaitu pada zaman penaklukan Jepun di Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an, seorang puteri raja yang bernama Da telah tinggal di kampung ini . Puteri Da merupakan seorang puteri raja yang sangat cantik dan digilai oleh ramai pemuda di kampung ini termasuklah Jeneral askar Jepun. Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu ketika itu, penduduk kampung masing-masing menyembunyikan diri daripada tentera  Jepun. Tentera  Jepun telah membina satu kem tentera di sebuah bukit berdekatan dengan sungai untuk menyimpan senjata dan merancang strategi.

Pada suatu hari, Puteri Da pergi ke sungai tersebut bersama dengan dayang-dayangnya untuk bermain–main. Ketika itu, tentera Jepun ternampak Puteri Da dan dayang-dayangnya yang disangkakan musuh. Tanpa melengahkan masa, tentera tersebut terus melempar bom ke arah sungai. Namun ketika itu, Jeneral Jepun yang mengenali Puteri Da cuba memberi amaran kepadanya dengan melaungkan “Da bom, Da bom”. Melalui ayat tersebut, maka kampung ini dinamakan sebagai Dabong.

Sumber: Pak Su Harun(penduduk asal Pekan Dabong).